Wednesday 18 June 2014

PEMBUANGAN BAYI


                                                 
Hamka pernah mengungkapkan, “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.


Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.


Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

            
Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah terhantuk baru nak terngadah”. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana “nasi sudah menjadi bubur”. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.


Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, “bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora”. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segan-segan menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.


Selain itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurleburkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana “malang tidak berbau”. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah.


Konklusinya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat kita. 


 



                                                                                         


           penyemaian nilai-ii  murni dalam kalangan pelajar


Wani :            Assalamualaikum , selamat petang dan bertemu kita dalam majlis forum remaja.Topik perbincangan kita pada hari ini ialah cara-cara penyemaian nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.Jadi dua orang panel telah diundangan bagi mengupas tajuk ini ialah saudari Fitry Arisya dan saudari Afiqah Hannani . Selamat datang ahli panel sekalian.


                     
                       Hadirin yang saya dihormati, saya ingin memulakan perbincangan ini   dengan mengemukakan soalan kepada saudari Hannani.Pada pendapat saudari, apakah yang dimaksudkan dengan penyemaian nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar?


Hannani :     Waalaikumsalam, pertama sekali saya mengucapkan terima kasih   kepada tuan pengerusi majlis kerana sudi menjemput saya untuk mengupas tajuk yang berkaitan Cara-cara Penyemaian Nilai Murni Dalam Kalangan Pelajar.Dewasa ini masalah sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat dan amat membingbangkan.Ini menimbulkan persoalan sejauh manakah penghayatan nilai murni dalam kehidupan mereka dipraktikkan?Justeru pada pendapat saya, semua pihak tak kira sama ada ibubapa,guru-guru,masyarakat dan negara , mereka perlulah memainkan peranan untuk membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.


Fitry :            Hadirin yang dihormati sekalian, tahukah kita ketiadaan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja menyebabkan perilaku mereka menjurus kearah negatif?Begitu juga pernyataan bahawa penghayatan akhlak yang lemah sering dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak masa kini.Masalah keruntuhan akhlak dan nilai berpunca daripada minda manusia yang terlupa akan tujuan sebenar mereka dihidupkan didunia ni.Kealpaan ini menyebabkan manusia mudah tewas kepada tuntutan hawa nafsu dan bersikap materialistik.


Wani :             Saudari Hannnani, sebentar tadi panel kedua kita ada menyatakan perilaku dikalangan remaja menyebabkan mereka menjurus kearah negatif.Bolehkah saudari kupas persoalan ini dengan lebih lanjut.


Hannani :        Terima kasih,pengerusi.Selain itu apa yang telah dinyatakan oleh panel yang kedua tadi, perkara ini juga boleh menyebabkan berlakunya jenayah kolar putih,rasuah,pecah amanah,ketagihan dadah dan pelbagai tingkah laku yang menyimpang yang dilakukan bukan sahaja dalam kalangan orang yang kurang berpendidikan tetapi juga tidak terkecuali golongn yang dianggap intelek dan terpelajar,kajian tentang penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar semakin penting dewasa ini bagi menjelaskan status tahap penghayatan nilai murni pada masa kini secara empirikal.Di sini saya akan mengupasnya dari segi disiplin pelajar. Dari segi disiplin dalam perkembangan masa kini, masalah gejala sosial dan disiplin pelajar didapati semakin hari semakin serius.Masyarakat sering membincangkan isu masalah gejala sosial terutama dalam kalangan remaja khususnya para pelajar di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.Remaja sering dikatakan tidak berakhlak, tidak pandai membuat pertimbangan nilai dan pelbagai lagi ciri negatif.Masalah gejala sosial yang melibatkan golongn remaja dengan budaya lepak,curi,dadah dan perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai murni serta sebagainya telah didedahkan kepada kita setiap hari menerusi akhbar,radio dan televisyen.


Fitry :               Minta maaf,pengerusi . Saya ingin menambah sedikit penjelasan tadi.


Wani :             Ya, silakan saudari.


Fitry :              Terima kasih, pengerusi.Semakin hari keruntuhan moral dan gejala sosial semakin meningkat dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.Ini memberi impak dan kesan terhadap sejauhmana  keberkesanan sistem pendidikan kita membentuk generasi yang berakhlak,bermoral dan memiliki serta menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.Pendidikan hari ini terlalu memfokuskan kepada kejayaan akademik yang menyebabkan pendidikan efektif diabaikan.


Wani :            Terima kasih kepada saudari Hannani dan Fitry. Kita sudah bincang pada permulaan forum ini.Sekarang apa yang kita perlu semaikan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja? Bolehkah panel pertama kita mengupas dengan lanjut?Silakan.


Hannani :       Terima kasih,pengerusi.Yang pertamanya.Kembali kepada agama.Semua ajaran dalam agama hendakkan pengganutnya beramal dengan cara hidup yang baik.Cara hidup ini bermaksud keseluruhannya mengamalkan nilai-nilai murni dalam segala aspek kehidupan.Penerapan ini hendaklah dimulakan dari kelompok kecil.Contohnya ibubapa.Ibubapa haruslah mendidik anak-anak mereka adab semasa bersama keluarga,guru,rakan-rakan disekolah.Bertepatan dengan topik kita menyemai.Ini bermakna mengajar anak-anak semasa kecil lagi.


Fitry :             Pengerusi,izinkan saya menambah pendapat panel pertama tadi.


Wani :            Silakan, saudari.


Fitry :             Sama-sama ,pengerusi. Selain itu, guru-guru juga haruslah memainkan peranan semasa di sekolah dalam mendidik pelajar-pelajar.Bukan sahaja bijak dalam pelajaran sahaja,tetapi pelajar haruslah bijak dalam memilih dan menilai kehidupan yang lebih baik.Banyak contoh nilai-nilai murni tetapi yang harus ditekan ialah kejujuran,amanah dan bertanggungjawab.


Wani :           Bagus penerangan dari panel kedua kita,saudari Fitry.Saudari Hannani bolehkan kupaskan penyemaian nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat pula?


Hannani :      Terima kasih ,pengerusi. Masyarakat lerh ni haruslah berganding bahu menjaga anak-anak kita daru terjerumus kedalam apa jua bentuk kebinasaan atau kerosakkan sikap tegur menegur dan saling mengambil berat amatlah digalakkan.


Wani :            Terima kasih,ahli panel yang dihormati.Demikian lah tadi perbincangan kita tentang ‘’Penyemaian Nilai-Nilai Murni’’ .Berdasarkan perbincangan tadi, dapatlah saya merumuskan bahawa untuk menyemai apa sahaja ciri-ciri positif pada anak-anak ibubapa haruslah mulakannya dari peringkat mereka kecil lagi .Bak kata pepatah melentur buluh  biarlah dari rebungnya .Seterusnya, kerjasama dari semua pihak termasuk guru,ibubapa,masyarakat mereka inilah yang menjamin tertanamnya nilai murni dalam diri anak-anak.Andai kata dalam diri golongan  dewasa kala ini tidak ada nilai positif apatah lagi anak-anak.

                       Setakat ini sahaja perbincangan forum kita, berjumpa lagi kita diepisod yang akan datang bersama panel yang lain Insyaallah.Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.








                          HARAP  KARANGAN  INI  DAPAT  MEMBANTU.  GUDLUCK  (^-^)